Tuesday, June 28, 2011

Cabaran Eko Perodua 2012 Mungkin Libatkan Pelajar Bukan Kejuruteraan

AYER KEROH, 27 Jun (Bernama) -- Didorong oleh semangat 13 pasukan mewakili fakulti kejuruteraan dari universiti tempatan di Cabaran Eko Perodua pada hujung minggu lepas, pihak penganjur bercadang membuka pertandingan itu kepada para pelajar bukan jurusan kejuruteraan tahun depan.

"Kami masih lagi di peringkat awal perundingan berhubung perkara ini," kata Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) Datuk Aminar Rashid Salleh kepada pemberita semasa perlumbaan itu di sini pada Sabtu.

"Kami mahu lebih ramai terlibat dalam projek ini, dan dengan penyertaan dari fakulti-fakulti lain. Mungkin, mereka perlu membuat pemasaran dan persembahan tertentu mengenai projek ini," kata beliau.

Cabaran Eko Perodua tahun depan masih dikekalkan di Melaka.

Aminar Rashid berkata pertandingan tahun ini agak mencabar memandangkan setiap pasukan hanya diberikan enjin tiga-silinder 660cc, sistem transmisi dan RM17,500 untuk membina kenderaan lumba masing-masing.

Setiap pasukan perlu membina sebuah kereta yang selaju mungkin dengan hanya menggunakan setengah liter petrol Petronas Primax 95 Xtra.

Dalam perlumbaan itu, Politeknik Ungku Omar menggondol hadiah pertama untuk jarak paling jauh iaitu 24.07km.

Ketua pasukan Mohd Azmi Ibrahim berkata mereka berjaya menyudahkan projek itu dalam tempoh tiga bulan dengan peruntukan tambahan RM30,000 untuk membina kereta, tetapi teknik pemanduan yang cekap menyumbang 60 peratus kepada pasukan untuk memenangi perlumbaan itu.

Politeknik Ungku Omar membawa pulang RM20,000 wang tunai manakala Universiti Selangor (19.1km) dan Universiti Sains Malaysia (17.42 km), masing-masing RM10,000 dan RM5,000.

Dalam kategori kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia memenangi RM15,000, diikuti oleh Universiti Sains Malaysia RM10,000 dan Universiti Kuala Lumpur-Malaysia Spanish Institute RM5,000.

Dalam kategori reka bentuk dan penyertaan kecil, Universiti Malaysia Pahang menggondol RM5,000 sementara Universiti Kebangsaan Malaysia RM3,000 dan Universiti Teknologi Mara RM1,000.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment